BAGAIMANA
AKU INGIN MENGUBAH DUNIA?
Mengubah dunia? Mampukah aku? Ramai yang menganggap aku gila dek kerana
cita-citaku yang ingin mengubah dunia. Percayalah bahawa ianya bukan suatu yang
mustahil. Persoalannya di sini, bagaimana nak mengubah dunia?
Firman Allah S.W.T:
“Sesungguhnya
Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah
apa yang ada pada diri mereka sendiri.” (Surah
Ar-Rad 13:11)
Ya!
Kita mesti berubah untuk mengubah dunia dan seisinya. Tapi, aku takut. Apa pula
kata orang nanti. “Eh, kenapa tiba-tiba berubah jadi baik ni?” “Nak mati dah ke
budak ni tiba-tiba jadi budak baik.” Aku ingin berubah, tapi aku takut. Takut
dengan pandangan mereka di sekelilingku. Adakah mereka akan menerima perubahan
diriku ini? Adakah aku akan ditinggalkan dan menjadi kera sumbang?
Tenanglah,
wahai diri. Tak perlu fikirkan tentang pandangan mereka tetapi fikirkan tentang
penilaian Dia terhadap kita.
Firman Allah S.W.T: “Sesungguhnya, Kami telah ciptakan manusia
dalam bentuk yang sebaik-baiknya.” (Surah At-Tin 95:04)
Jadi, apa
yang kita perlu kita risaukan? Allah telah menciptakan kita dalam bentuk yang
sebaik-baiknya, semuanya serupa tapi amal dan takwa sahaja yang membezakan
kita. Jika sudah terdetik di hati untuk berubah, jangan bertangguh lagi!
Mulakan langkah perubahan itu sedikit demi sedikit asalkan istiqamah.
“Daripada
Aisyah r.h.a Nabi Muhammad SAW bersabda: “Wahai manusia, lakukanlah amalan
mengikut keupayaan kamu. Sesungguhnya Allah tidak jemu sehinggalah kamu jemu.
Amalan yang paling disukai Allah ialah amalan yang berterusan walaupun
sedikit.” (Riwayat al-Bukhari dan
Muslim)
Konklusinya,
kita mesti melakukan perubahan bagi menjamin kehidupan yang lebih baik sama ada
di dunia mahupun di akhirat. Ya! Kita perlu mengubah dunia tetapi perubahan itu
mestilah bermula dengan diri sendiri terlebih dahulu. Ayuh, kita berubah!
BAGAIMANA
INGIN ISTIQAMAH DALAM PROSES PERUBAHAN?
· Matlamat yang jelas
· Melazimi taubat
· Berdoa kepada Allah
· Mulakan dengan perubahan yang ringan
dan mengikut kemampuan
· Sentiasa menjaga solat dan
mengingati Allah
· Bersyukur kepada Allah pada setiap
proses perubahan
Ditulis oleh :
Nurul Nadiah Binti Abdul Nasir
Tahun Kedua Shariah (Ekonomi dan Perbankan Islam)
KYP-Universiti Yarmouk
Bagaimana aku ingin mengubah dunia
Views:
4
0 comments:
Post a Comment